LANGKAWI, 16 Sept (Bernama) -- Sebanyak 90 pelajar antarabangsa dari 38 negara “berkampung” di pulau legenda berkenaan sempena program penghayatan budaya Malaysia Cultural Discovery (MYDiscovery) Langkawi 2026, yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS) Novie Tajuddin berkata selain membawa pelajar antarabangsa menyelami budaya tempatan, program itu juga diadakan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.
Beliau berkata EMGS ialah sebuah syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan bertanggungjawab menguruskan permohonan visa pelajar ke Malaysia, termasuk perkhidmatan berkaitan lain untuk pelajar antarabangsa.
“MYDiscovery ini memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali Malaysia di luar bilik kuliah melalui interaksi secara langsung dengan komuniti setempat.
“MYDiscovery diwujudkan untuk memperluaskan pengalaman pelajar antarabangsa melalui penglibatan bersama penduduk setempat, sekali gus membina ruang untuk saling mengenali, mengurangkan jurang persepsi dan memupuk rasa kebersamaan antara pelajar antarabangsa dengan komuniti,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata program yang dianjurkan dengan kerjasama MAHA Tower Langkawi itu menggabungkan pengalaman budaya, warisan, alam semula jadi dan sajian tempatan bagi memperkenalkan kehidupan masyarakat Malaysia secara lebih dekat dan autentik.
“MYDiscovery mencerminkan pengalaman pelajar antarabangsa yang ingin ditawarkan oleh Malaysia, bukan sahaja berteraskan pendidikan berkualiti, malah dibina melalui hubungan kemanusiaan yang tulus.
“Apabila para pelajar berkongsi makanan, tradisi dan kehidupan seharian bersama komuniti tempatan, mereka dapat mengenali Malaysia dengan lebih mendalam dan menjadi sebahagian daripada kisah negara ini,” katanya.
Menurut Novie, menerusi program itu juga para pelajar antarabangsa dapat membawa pulang pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai Malaysia kepada keluarga dan komuniti mereka di negara asal.
Beliau berkata pelaksanaan program pada minggu sambutan Hari Malaysia juga memberi dimensi tambahan kepada pengalaman peserta dengan menonjolkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian.
Sepanjang program, para peserta berpeluang menyertai pelbagai permainan tradisional, aktiviti berkayak di Pantai Tanjung Rhu, Jelajah Rimba dan Sarong Fun Walk serta melawat Kompleks Kraf Langkawi.
Selain itu, mereka turut mengikuti lawatan ke kawasan bakau di Kilim Geopark dan menyertai sesi ramah mesra serta makan malam bersama komuniti Kampung Sungai Itau di sini.
“MYDiscovery Langkawi adalah kesinambungan kepada edisi sulung di Teluk Ketapang, Kuala Terengganu dan pulau ini dipilih kerana keunikannya yang menggabungkan kekayaan budaya, warisan, kulinari dan alam semula jadi.
“Program ini akan terus menyokong usaha EMGS untuk meningkatkan pengalaman pelajar antarabangsa dan memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pendidikan yang berkualiti, mesra, inklusif dan kaya dengan kepelbagaian budaya,” katanya.
Pada edisi kali ini, para pelajar antarabangsa yang terlibat adalah dari Algeria, Bangladesh, Burundi, Kemboja, China, Ivory Coast, Mesir, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Iran, Iraq, Jordan, Lubnan, Libya, Malawi, Mozambique, Nepal, Nigeria, Pakistan, Filipina, Somalia, Afrika Selatan, Sudan Selatan, Sudan, Sweden, Syria, Tanzania, Thailand, Timor-Leste, Togo, Trinidad dan Tobago, Turkiye, Turkmenistan, Ukraine, Uzbekistan dan Yaman.






