KEPALA BATAS, 16 Sept (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memantau rapi Indeks Pencemar Udara (IPU) dan akan memaklumkan penutupan sekolah di kawasan terjejas jika bacaan mencecah 200 atau lebih.
Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata pemantauan dibuat setiap dua jam, dan kemuncaknya pada 6 petang hingga 8 malam.
"Setakat hari ini keempat-empat stesen mencatatkan bacaan lebih daripada 160, iaitu kategori tidak sihat. Jika bacaan mencecah 200 seperti panduan yang dikeluarkan, kita akan memaklumkan penutupan sekolah dan pelaksanaan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah).
"Keputusan penutupan sekolah juga akan dibuat mengikut kawasan atau stesen yang terjejas dan dimaklumkan segera menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Pulau Pinang di Dewan Millenium di sini hari ini.
Mohamad Dziauddin berkata JPN Pulau Pinang turut mempunyai "War Room" yang diwujudkan sejak 13 Ogos lepas bagi memantau perkembangan jerebu dan memastikan maklumat dapat disampaikan kepada sekolah dengan segera.
Beliau berkata setakat ini juga pihaknya belum menerima laporan mengenai murid yang mengalami masalah kesihatan berkaitan jerebu.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan kualiti udara.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri menasihatkan orang ramai supaya tidak panik, namun pada masa yang sama mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan memaklumkan sebarang perkembangan penting kepada orang ramai dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat dan penilaian daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) JAS sehingga 11 pagi, Minden merekodkan bacaan IPU 167, Balik Pulau (164), Seberang Jaya (162) dan Seberang Perai (160), kesemuanya pada tahap tidak sihat.






