KUALA LUMPUR: Merasai sendiri pengalaman sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih 20 kali, Zulkifli Md Pungut bukan hanya dapat menambah baik pendekatan pengajarannya sebagai guru, malah membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan tenang.

Bagi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam di Johor yang juga guru Matematik itu, yang sekali lagi bakal menjadi calon SPM tahun ini buat kali ke-26, peperiksaan bukan sekadar medan menguji pencapaian akademik.

Sebaliknya, ia membuka peluang untuk beliau menyelami sendiri pengalaman calon serta memastikan kaedah pengajarannya kekal relevan dengan kehendak pendidikan semasa.

Zulkifli, 58, yang mula menduduki SPM sebagai seorang guru sejak 2011, berkata beliau mahu menilai sendiri tahap kesukaran kertas soalan dan perubahan format peperiksaan, selain memahami cabaran dihadapi pelajar dari perspektif seorang calon.

"Duduk dalam dewan peperiksaan membuka mata saya tentang tekanan masa, keletihan mental dan rasa cemas yang dialami calon. Pengalaman ini mengubah pendekatan pengajaran saya.

"Saya tidak lagi hanya mengajar tajuk dalam modul, tetapi turut memberikan tumpuan kepada teknik pengurusan masa, strategi menjawab di bawah tekanan dan pengurusan emosi," katanya kepada BERNAMA.

Berkongsi rutin persiapannya, Zulkifli berkata, beliau memperuntukkan antara dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji dan menjawab set soalan seperti calon sekolah biasa.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran Awam itu turut menggunakan modul rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), soalan percubaan serta mendapatkan pandangan rakan-rakan guru Matematik sebagai rakan semakan.

Sepanjang menduduki SPM, beliau berkata, fokus utamanya ialah subjek Matematik dan Bahasa Inggeris, dengan rekod keputusan yang konsisten pada gred A dan A+.

Untuk SPM tahun ini, sasaran beliau tetap sama, iaitu mengekalkan gred A+ bagi Matematik sebagai penanda aras prestasi peribadi, selain menjadi sumber inspirasi kepada pelajarnya.

Antara perubahan paling ketara dalam SPM moden, katanya, ialah peningkatan penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) apabila soalan tidak lagi tertumpu kepada pengiraan rutin atau hafalan.

Beliau berkata, calon kini perlu menganalisis maklumat dan memahami konsep sebelum mengaplikasikannya dalam situasi kehidupan sebenar, termasuk pengurusan kewangan, analisis data dan statistik harian.

"Matematik bukan sekadar subjek mengira, tetapi satu bentuk latihan minda. Jangan melihat soalan yang panjang dan terus berasa gerun, sebaliknya pecahkan masalah kepada langkah-langkah kecil.

"Kuncinya ialah latihan berulang secara konsisten, membina kefahaman konsep asas dan jangan ragu-ragu untuk bertanya kepada guru," katanya.

Zulkifli berkata, pengalamannya sebagai calon SPM berulang kali turut membolehkannya memahami dengan lebih dekat tekanan dihadapi pelajar, sekali gus membantu beliau menjadi pendidik yang lebih peka terhadap keperluan mereka.