Kuala Lumpur: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) terus melopori arus pemodenan pendidikan tinggi negara apabila menawarkan Program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI).
Naib Canselor UPTM Prof Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata, program itu memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu AI dalam perniagaan serta AI dalam pengurusan data.
Katanya, UPTM turut memastikan program berkenaan tidak hanya menekankan aspek teori, sebaliknya memberi pendedahan praktikal kepada pelajar menerusi penggunaan teknologi dan kemudahan AI terkini.
"Program ini berbeza kerana kita bukan hanya mengajar teori, tetapi memberi ruang kepada pelajar untuk membangunkan projek serta menghasilkan penyelesaian AI sendiri.
"Selain itu, kurikulum dibangunkan berasaskan keperluan industri supaya graduan mempunyai kemahiran yang diperlukan pasaran pekerjaan," katanya ketika pelancaran program berkenaan pada Majlis Aku Kasih Malaysia anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) sempena sambutan kemerdekaan ke-69 di Menara Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.
Sharifah Syahirah berkata, UPTM menyasar untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional yang mampu memenuhi keperluan industri tempatan dan global menerusi pendekatan pendidikan berteraskan AI.
Katanya, graduan program ijazah UPTM pada masa akan datang bukan sahaja memperoleh kelayakan akademik, malah turut dibekalkan sijil profesional bagi meningkatkan nilai mereka dalam pasaran pekerjaan.
"Harapan kami dalam tempoh 10 tahun akan datang, profesional yang diperlukan di Malaysia dan peringkat global dapat dilahirkan daripada UPTM," katanya.
Beliau berkata, pengambilan pertama program berkenaan bermula pada Ogos lalu dengan 14 pelajar, manakala 30 tempat dibuka bagi pengambilan Oktober ini.
"Masih ada kekosongan untuk pengambilan Oktober dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat menerusi laman sesawang UPTM," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Informasi dan Teknologi Komunikasi UPTM, Ts. Ahmad Kamal Hasan Basri berkata, program berkenaan mempunyai kurikulum berteraskan industri yang dibangunkan dengan mengambil kira pandangan pakar industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Menurutnya, pelajar turut berpeluang menggunakan pelayan AI berprestasi tinggi yang dilengkapi GPU H200 bagi membolehkan mereka menjalankan projek berkaitan kecerdasan buatan generatif.
"UPTM turut bekerjasama dengan Google bagi menyediakan sijil profesional termasuk dalam bidang e-dagang dan AI generatif.
"Sebanyak 500 sijil profesional Google disediakan secara percuma kepada pelajar sebagai sebahagian daripada kerjasama antara UPTM dan Google," katanya.






